Projek ini melibatkan pelaksanaan sistem pengurusan untuk Projek Tahun Akhir (FYP) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM SEE) bagi menyokong pelaksanaan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE) yang diamanahkan oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC). Sistem yang dicadangkan akan menyokong matlamat OBE untuk memberi penilaian objektif kepada setiap pelajar untuk penambahbaikan kualiti berterusan (CQI). Selain itu, sistem ini juga menggunakan pendekatan yang sistematik bagi menggantikan pendekatan yang manual untuk mempercepatkan input dan pemprosesan markah FYP. Para pengguna yang disasarkan bagi sistem pengurusan FYP ini ialah jawatankuasa dan kakitangan yang terlibat dalam perlaksanaan FYP. Bagi reka bentuk yang mudah dan mesra pengguna, sistem ini akan dibangunkan dengan menggunakan Matlab sebagai alat analisis dan lembar kerja pada Microsoft Excel sebagai pangkalan data. Sistem ini juga menyediakan analisis statistik yang juga boleh digunakan untuk mengenal pasti kewujudan percanggahan dalam markah yang diberi oleh penyelia dengan markah yang diberi oleh pemeriksa kedua.