Pemprosesan imej digital merupakan satu bidang yang amat berguna dalam dunia moden pada hari ini. Teknik-teknik pemprosesan imej digital telah banyak digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian. Pemprosesan imej digital ini juga telah diaplikasikan dalam bidang perubatan. Teknik ini telah digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti menganalisa imej palitan darah manusia, imej sinar-x (x-ray), imej ultrabunyi (ultrasound) dan sebagainya. Dengan adanya teknik pemprosesan imej perubatan ini ia dapat membantu para ahli perubatan mendapatkan data atau maklumat yang mempunyai ketepatan yang tinggi daripada imej-imej perubatan pesakit.
Dalam bidang mikrobiologi, pemprosesan imej digital amat berguna untuk membantu para ahli mikrobiologi mengenalpasti parasit yang terdapat dalam imej sel darah pesakit. Kebanyakan ujian palitan darah yang dilakukan tidak dapat menghasilkan keputusan yang memuaskan. Ini disebabkan faktor imej itu sendiri yang agak kabur dan sukar untuk para juruanalisis makmal perubatan untuk mengenalpasti ciri-ciri parasit yang terdapat dalam imej palitan darah tersebut. Dalam proses pengenalpastian penyakit malaria, pemprosesan imej ini amat berguna untuk menentukan ciri parasit malaria. Imej palitan darah pesakit yang disyaki dijangkiti dengan malaria akan diproses menggunakan teknik pemprosesan imej perubatan ini untuk mengenalpasti ciri-ciri seperti bilangan parasit dan saiz parasit yang terdapat pada imej palitan darah tersebut. Algoritma berkaitan pemprosesan imej akan diaplikasikan dalam pengaturcaraan komputer dengan membina satu sistem yang dapat mengenalpasti ciri-ciri parasit iaitu saiz dan jumlah parasit yang terdapat pada imej palitan darah tersebut. Dengan adanya perisian seperti yang dibangunkan ini, adalah diharapkan agar ia dapat membantu para juruanalisis makmal perubatan untuk menganalisa imej palitan darah serta mengenalpasti ciri-ciri yang terdapat pada parasit tersebut dengan lebih tepat dan cepat. Ini akan membantu mempercepatkan proses rawatan yang perlu diberikan kepada para pesakit.