Objektif utama projek ini adalah untuk mengira dimensi-dimensi mekanikal bagi sebuah motor DC magnet kekal tanpa berus (PMBL-DC) dengan menggunakan aturcara C++. Berbanding dengan projek tahun akhir untuk pelajar-pelajar yang terdahulu, rekabentuk kini dibuat dengan menggunakan aturcara C++. Penggunaan perisian-perisian seperti yang terdapat di pasaran contohnya AUTOCAD dan FEM (FINITE ELEMENT METHOD) sebenarnya adalah lebih mudah untuk digunakan. Namun pemahaman yang lebih teliti terhadap parameter dan rekabentuk dimensi adalah lebih baik dengan menggunakan aturcara C++. Rekabentuk dimensi dengan aturcara ini bukanlah sesuatu yang baru dalam bidang ini. Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa kaedah program tidak linear (non-linear programming) juga adalah salah satu kaedah yang digunapakai selain daripada analisis elemen terbatas (finite element analysis). Penggunaan aturcara C++ ini melibatkan pengiraan litar elektrik, litar magnet dan persamaan-persamaan matematik. Selain itu projek ini dapat membiasakan diri dengan penggunaan aturcara C++. Projek ini juga bertujuan untuk menghasilkan dimensi yang paling optimum bagi mendapatkan kecekapan motor yang terbaik.